top of page

Meeting People Is Easy: Visitation Notes

oleh Azzad Diah

Related link

ENG / BM

Dis 2017

Walaupun tajuknya dalam Inggeris, tulisan ini berbahasa Melayu. Ada yang mengatakan, bahasa membentuk cara berfikir. Setiap bahasa, sama ada pertuturan atau tulisan, mempunyai struktur yang unik, membezakan tindakan pemikiran dan pemahaman setiap pengamalnya. Tulisan ini bukanlah mahu bercerita tentang bahasa dengan panjang lebar, malah tiada kena mengena dengan bahasa pertuturan. Sejujurnya, tajuk ini saya tiru dari program di mana tulisan ini dikhususkan. Meeting People is Easy atau terjemahan secara kasarnya, Mudah Berjumpa Orang. Bunyinya agak janggal. Terjemahan langsung dari setiap patah perkataan. Meeting People is Easy ialah sebuah program studio terbuka artis Gan Siong King.

 

Sudah lebih kurang 20 tahun Gan Siong King berkecimpung di dalam dunia seni. Setelah tamat pengajian di Malaysia Institute of Art, beliau terus sahaja aktif di dalam industri kreatif. Walaupun begitu, sebelum ini Siong King tidak pernah menganggap dirinya sebagai artis sepenuh masa. Seperti tok dalang wayang kulit dulu-dulu katanya. Tok dalang (dulu-dulu) bukanlah sebuah pekerjaan sepenuh masa. Mereka mempraktikkan wayang kulit hanya selepas waktu kerja. Tanggungjawab dalang melewati segala bentuk karier – ia sebuah kehidupan. Idea tok dalang ini membentuk cara kerja Siong King, di mana beliau tidak terikat dengan mana-mana bidang yang spesifik – namun akarnya teguh di dalam seni.

 

“Kebanyakan kerja-kerja yang saya lakukan sebelum ini demi meluaskan lagi praktik saya sebagai seorang pekerja kreatif – teater, filem, projek komuniti, kolektif seni – semuanya diluar dari apa yang saya pernah pelajari – catan.” Mungkin kerana terlalu sibuk dengan pelbagai tugasan, beliau sering kali dianggap tidak aktif menghasilkan karya. Bekerja di dalam industri bukan sekadar berkerja mencari duit, Siong King terdedah dengan selok-belok menjadi artis yang lebih baik – sama ada dari segi pemerhatian, penghasilan, persembahan dan menghargai seni. Walaupun tidak sebagai artis visual professional (kerana tidak mencari makan melalui karya seni), 15 pertama tahun karier beliau adalah tempoh pembelajaran yang sangat berguna, memahami dan mengalami seni dalam pelbagai bentuk dan pendekatan, memperluaskan tatabahasa seni beliau sehingga sekarang ini. “Kini segala-galanya tampak terang bagi saya. Saya tidak mahu lagi bekerja untuk orang.”

 

Program studio terbuka ini seakan meraikan karier beliau sebagai seorang artis sepenuh masa. Ia sudah dirancang awal namun hanya kini berpeluang untuk merealisasikannya. Menurutnya program ini seperti membawa orang luar memasuki dunia beliau. Dunia yang penuh dengan visi dan imaginasi, realiti dan fantasi. Sesiapa yang melawat akan disambut oleh lukisan, catan, video, alatan-alatan, material dan objek-objek yang digunakan oleh Siong King untuk menghasilkan karya. Ia satu pendedahan, seperti gua yang terbuka untuk diterokai. Siong King mendedahkan segalanya – peribadi, idea dan juga objek obsesinya – untuk diterokai dan diamati khalayak umum. Kehidupan yang selalu dianggap terpencil, jauh dari penglihatan ramai, hanya diketahui sebilangan orang, kini terbuka untuk semua.

 

Melewati kawasan taman perumahan di Sri Petaling, mungkin tiada siapa yang menyangka terdapat sebuah studio seni di dalamnya. Dari luar, rumah teres satu tingkat ini kelihatan lebih kurang sama dengan rumah-rumah jiran di sekelilingnya (yang kebanyakan dihuni oleh keluarga). Tiada yang ‘seni’ mengenainya. Namun, seni itu fleksibel. Tidak perlu tempat yang kononnya artisitik untuk membuat seni. Semakin banyak korporat-korporat perumahan yang cuba menyelitkan unsur-unsur seni di dalam projek perumahan mereka. Tanggapan lazim, seni melambangkan budaya. Masyarakat berbudaya, mencerminkan keperibadian sivik yang tinggi. Ini hanya tanggapan sahaja. Kebanyakan perumahan-perumahan bertemakan seni ini hanya sebagai marketing stunt semata-mata.

 

Seperti ‘seni’, membuat ‘seni’ juga boleh melebur di mana-mana sahaja. Terbukti aktiviti seni mempengaruhi sesebuah ruang, biar pun ianya di tempat awam, persendirian, terpencil, institusi, petempatan luar bandar, hutan, lorong dan kaki lima. Allan Kaprow menjadikan kawasan pameran sebagai studio beliau untuk karyanya Yard (1961) dengan longgokan tayar-tayar terpakai secara horizontal di ruangan taman Martha Jackson Gallery. “Catan akan berhenti menjadi catan dan melebur menjadi persekitaran,” kata beliau merujuk kepada tindakan artis yang hidup di dalam persekitaran hariannya. Apa yang dimaksudkan di sini, artis harus bersatu dan ‘hidup’ di dalam amalan studio mereka.

 

Studio ialah sebuah tempat mistik. Tempat reproduktif kreativiti. Di dalamnya diselubungi semangat artistik – di mana segala tenaga dipusatkan. Gudang idea, ruang untuk bermeditasi dan komunikasi. Terdapat dinding yang memisahkan antara studio dan dunia luar. Tapi ini bukanlah bererti apa yang berlaku di dalam studio tiada kena-mengena dengan dunia luar. Cumanya, seni berbicara dalam bahasa yang khusus untuk dibaca dan difahami.

 

Saya membayangkan, studio Siong King bagaikan sebuah organisasi yang mempunyai bahasanya yang tersendiri. Seperti mempelajari bahasa yang asing, perkara pertama yang harus dilakukan sebelum faham ialah mengalami bahasa itu sendiri.

 

Selain pertuturan (bunyi), bahasa juga visual. Teks adalah imej. Percantuman antara teks menbentuk makna, dan makna ini difahami (jika sudah tahu berbahasa). Bahasa isyarat memerlukan penuturnya memahami simbol dari pergerakan tangan. Kaligrafi Cina mengambil bentuk dari persekitaran manusia, seperti gunung, haiwan, dan rumah. Perbendaharaan bahasa Inggeris sangat luas, dan setiap perkataan menekan perbuatan atau makna yang khusus. Bahasa Melayu pula banyak menggunakan objek sebagai subjek – jadi, jika makan ialah perbuatan, dengan imbuhan -an menukarkan perbuatan menjadi benda – makanan. Setiap bahasa mempunyai karakter tersendiri dan memerlukan laluan masuk yang berbeza untuk memahaminya. Etika berbahasa, walaupun berlainan, tetapi terbit dari pemahaman yang universal.

 

Sampai saja di muka pintu masuk studio, penglihatan saya disapa oleh sebuah carta warna yang tergantung di ruang tamu studio. Walaupun ia bukanlah objek yang paling hampir kerana kedudukannya di sebalik meja, namun ia sangat menyerlah, memaku pandangan sebelum melewati pintu masuk. Ruang tamu empat segi diperlakukan persis gubahan pameran dengan catan-catan disusun di setiap dindingnya. Lewat ruang tamu, langsung memasuki ruang dalaman studio yang agak besar sedikit berbanding ruang tamu. Rumah ini punyai ciri-ciri arkitektur perumahan 80an (mungkin lebih lama lagi) – bahagian siling tinggi yang mempunyai tingkap udara (nostalgia). Terdapat tiga buah bilik – antaranya dijadikan bilik suntingan video dan stor. Siong King aktif menghasilkan karya-karya berbentuk video seperti mana beliau menghasilkan karya-karya catan. Lebih ruang untuk bermain berbanding dengan catan, katanya.

 

Seperti menonton filem asing tanpa sari kata, saya cuba menangkap butiran yang berulang di dalam karya-karya beliau. Ia seperti pengalaman memahami konteks perbualan bahasa asing, walaupun tidak mengetahui butirannya. Setiap objek di dalam studio ini mempunyai hubungan yang tersendiri walaupun tidak secara langsung. Terdapat suatu fetishism yang dapat dikesan dalam imej-imej yang dipaparkan. Bukan sahaja pada catan-catan beliau, malahan lebih terserlah di dalam karya-karya video beliau. Siong King gemar menggunakan mikroskopik dan close-up shot di dalam komposisi imej-imejnya. “Porno barang-barang mekanikal!” katanya berseloroh. Komposisi sebegini kadang-kala kelihatan abstrak, di sebaliknya ia membongkar sebuah proses.

 

Imej-imej di dalam karya catan Siong King mempamerkan pengaruh kuat tema sains dan sejarah. Kapsul besi berbentuk bulat, tengkorak, objek-objek permainan, potret tokoh berjanggut (kemungkinan tokoh sains), pengawai polis dari era lepas, haiwan – semuanya tampak abstrak dan tidak dirancang. Saya cuba mengaitkan konstelasi imej-imej ini dengan peribadi Gan Siong King. Saya percaya, setiap objek yang dihasilkan oleh artis mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sejarah yang saya maksudkan ialah pertalian antara artis dan pemikiran yang dicerap di dalam karya-karya beliau – sejarah idea.

 

Apa yang mengujakan saya ialah bagaimana Siong menggunakan struktur yang sama dan dipraktikkan dalam bentuk dan medium seni yang berbeza. Tiga komponen penting yang menterjemahkan visi Siong King istimewa program studio terbuka ini – objek, imej, dan pameran. Beliau punyai tanggapan bahawa identiti sesuatu objek boleh dilentur dan dimaknai. Setiap satu komponen ini di baca dari laluan masuk (entry point) yang berbeza.

 

Jadi saya membayangkan pintu masuknya disusun begini:

 

Objek

(realiti fizikal)

 

Imej

(repesentasi naratif)

 

Pameran

(politik representasi)

 

Secara lahiriah apa sahaja benda adalah objek (penggunaan dua kata; benda dan objek, untuk memisahkan maksud pengkhususan antara duanya. Benda merujuk kepada fizikal, manakala objek difahami di dalam konteks teori). Misalnya, catan ialah objek – di dalam terdapat struktur kayu, kanvas dan cat warna (sama ada cat minyak atau akrilik). Di dalam catan terdapat imej. Bahasa imej di baca melalui pembentukan tanda dan makna, semiotik. Gabungan imej-imej ini pula diletakkan di dalam pameran, yang di baca melalui bahasa kuasa dan representasi. Ia juga diguna pakai di dalam proses penghasilan karya beliau:

 

Objek

(fizikal)

 

Warna

(teknikal)

 

Imej

(semiotik)

 

Ia sebuah strategi untuk pencarian bentuk dan makna yang konsisten, terpantul dari persoalan-persoalan episteme dan ontologi. Segala apa yang terdapat di dalam studio Gan Siong King adalah serpihan dari pemikiran sang artis. Yang pasti, ia adalah sebuah proses pembentukan. “Jika hendak membentuk karier sebagai artis, perlunya sebuah strategi dan sentiasa konsisten di dalam pembikinan,” ujar Siong King.

 

Chaotic dan proses – dua elemen yang berlawanan di dalam tempat yang sama. Imej-imej yang abstrak, bentuk yang eksperimental, subjek-subjek yang kadang-kala tidak masuk akal, diletakkan di dalam ruangan studio dengan susun atur yang menyelesakan pandangan. Perlawanan binary yang mengimbangi tenaga positif dan negatif, keduanya saling memerlukan untuk terus ‘hidup’. Sinergi di antara hubungan artis dan persekitarannya membentuk estetiknya yang tersendiri.

 

Program studio terbuka, seperti kata kerjanya – buka – membuka pelbagai kemungkinan baru. Setiap dialog membentuk makna baru. Setiap persoalan, mencipta peluang meneroka jawapan yang baru. Keterbukaan ini mendedahkan segala-galanya. Persoalan makna akan terus mekar menjadi perbualan lazim setiap kali berhadapan dengan objek-objek seni. Walaupun ada berpendapat karya seni itu subjektif kepada mata yang melihat, dari kaca mata artis ia adalah sebuah objektif. Setiap apa yang dihasilkan ada sebabnya, walaupun kadang-kala sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

 

Artis, menurut Franz Kafka, adalah seorang yang tidak menyatakan apa-apa. Ini bermaksud, seni, lahiriah seni yang sebenar, tiada bermesej, tiada berpendapat, tidak cuba untuk meyakinkan, tapi – secara ringkasnya – sebagai saksi. Walaupun begitu, setiap apa yang tersaksi terkandung kenyataannya tersendiri. Sebagai pelawat yang menyaksikan objek-objek yang dipersembahkan di dalam program ini, terdetik untuk mengetahui latar belakang inspirasi sang artis. Mungkin ini juga tujuan Siong King mengadakan studio terbuka. Mendorong komunikasi. Bukan sahaja dengan objek-objek di dalam studionya, malahan untuk memulakan perbualan bersama artis. Meeting People is Easy – tetapi bukan mudah untuk bertemu dengan orang jika tiada apa yang mahu disembangkan.

bottom of page